
Pengenalan
Menjadi seorang pensyarah grafik bukan sekadar menyampaikan ilmu tentang perisian seperti Adobe Illustrator, Adobe Animate atau Adobe InDesign, tetapi ia sebenarnya adalah satu perjalanan yang penuh dengan interaksi, eksplorasi kreativiti, dan juga pembentukan pemikiran visual pelajar.

Memahami Pelajar Dengan Latar Belakang Berbeza
Sepanjang pengalaman saya mengajar, saya mula sedar bahawa setiap pelajar datang dengan latar belakang dan tahap kreativiti yang berbeza. Ada yang sudah mahir melukis secara digital, dan ada juga yang baru pertama kali memegang pen tablet.
Di sinilah peranan saya menjadi lebih daripada sekadar pengajar, saya perlu menjadi fasilitator yang mampu membimbing mereka mengembangkan potensi masing-masing.
Belajar Dengan Buat
Dalam kelas, saya lebih gemar menggunakan pendekatan praktikal. Bagi saya, grafik tidak boleh hanya difahami secara teori. Pelajar perlu “buat” untuk benar-benar faham.
Sebagai contoh, ketika mengajar Adobe Illustrator, saya akan pecahkan setiap tool kepada latihan kecil yang spesifik sebelum menggabungkannya dalam satu projek yang lebih besar seperti reka bentuk karakter atau membuat lakaran yang asas.
Melihat Perkembangan Pelajar
Apa yang paling menarik adalah melihat perkembangan pelajar dari minggu ke minggu. Dari hasil kerja yang asas, mereka mula menunjukkan peningkatan dari segi komposisi, pemilihan warna, dan juga idea. Ada kalanya mereka menghasilkan karya yang di luar jangkaan saya sendiri dan itu adalah satu kepuasan yang sukar digambarkan. Saya tersenyum dan tak habis-habis memuji pelajar saya.
Perkongsian Pengalaman Bersama Pelajar di Kolej UNITI Port Dickson
Saya ingin berkongsi beberapa pengalaman saya bersama pelajar sepanjang saya menjadi tenaga pengajar di Kolej UNITI Port Dickson.
Situasi Pertama
Ada hari-hari tertentu dalam kelas yang buat saya terdiam sekejap.
Bukan sebab sunyi… tapi sebab saya sedang perhati. Perhati setiap tingkah laku pelajar saya. Saya perhati seorang pelajar yang dah hampir 20 minit duduk menghadap skrin, kening berkerut, tangan pegang mouse tapi tak klik apa-apa. Saya tahu situasi tu. Saya pernah berada di tempat yang sama, buntu, tak tahu nak mula dari mana.
Saya berjalan perlahan ke arah pelajar tersebut.
“Kenapa? Stuck ke?”
Pelajar tersebut senyum sikit, tapi jelas nampak gelisah.
“Saya tak tahu nak buat bentuk ni jadi cantik macam contoh yang miss buat tu, Miss.”
Saya tak terus ambil alih. Saya duduk sebelah dia.
“Okay, kita buat sama-sama. Jangan kejar nak cantik dulu. Kena faham dulu mula-mula nak buat apa.”
Itu antara momen kecil yang selalu berlaku dalam kelas saya di Kolej Uniti Port Dickson, momen di mana grafik bukan sekadar tentang design, tapi tentang kita sama-sama bina keyakinan seterusnya belajar kearah yang lebih baik.

Situasi Kedua
Sebagai pensyarah grafik, ramai orang fikir kerja saya hanya ajar software. Tekan ini, klik itu, guna tool ini. Tapi hakikatnya, yang lebih mencabar bukanlah tool… tetapi cara pelajar melihat diri mereka sendiri.
Software boleh dipelajari dalam masa beberapa minggu. Tutorial ada di mana-mana. Tapi untuk ubah cara seseorang berfikir, daripada “aku tak pandai” kepada “aku nak cuba”, itu memang ambil masa, kesabaran, dan kepercayaan.
Pelajar Dengan Semangat Berbeza
Ada pelajar yang masuk kelas dengan penuh semangat. Laptop dah buka awal, siap tanya soalan sebelum saya mula mengajar. Mata mereka penuh rasa ingin tahu. Tapi dalam masa yang sama, ada juga yang duduk diam, pandang skrin kosong lama-lama, seolah-olah takut untuk mula.
Dan ada satu ayat yang saya selalu dengar, “Miss, saya memang tak pandai nak buat.”
Setiap kali ayat tu keluar, saya tahu… perjalanan pelajar ini akan sedikit berbeza. Bukan sebab dia tak mampu, tapi sebab dia sudah meletakkan had pada diri sendiri sebelum sempat mencuba.
Dan di situlah cabaran sebenar saya bermula, bukan untuk ajar design, tapi untuk perlahan-lahan pecahkan dinding yang dia bina sendiri.
Bermula Dengan Asas: Bulatan Boleh Jadi Apa?
Dalam kelas Adobe Illustrator, saya jarang terus mula dengan benda yang kompleks. Saya lebih suka bermula dengan sesuatu yang nampak terlalu asas seperti shape, warna, susunan. Benda yang mungkin bagi sesetengah orang nampak remeh.
Saya akan lukis satu bulatan di skrin.
Kemudian saya tanya, “Kalau bulat ni boleh jadi apa?”
Ada yang jawab, “bola.” Ada yang jawab, “mata.” Ada yang diam.
Saya akan senyum dan sambung, “Kalau kita rotate sikit, tambah shape lain… nampak macam apa pula?”
Perlahan-lahan, jawapan mula berubah. Daripada objek biasa kepada idea yang lebih bebas. Ada yang nampak karakter. Ada yang nampak logo. Ada yang nampak sesuatu yang langsung tak dijangka.
Kadang-kadang jawapan mereka pelik. Kadang-kadang tak masuk akal. Kadang-kadang kelakar.
Tapi saya biarkan.
Sebab dalam dunia kreatif, ‘pelik’ itu selalunya permulaan kepada sesuatu yang unik. Bagi saya, kalau seorang pelajar berani bagi jawapan yang “lain daripada yang lain”, itu sudah satu kemenangan kecil.
Sebab itu tanda dia mula yakin dengan idea sendiri, walaupun belum sempurna.
Dan dari situlah, seorang pelajar yang dulu kata “aku tak pandai seni”… perlahan-lahan mula hasilkan sesuatu yang dia sendiri tak pernah sangka dia mampu buat.

Dari “Tak Cantik” Kepada “Lebih Yakin”
Saya masih ingat satu kelas, kami buat projek sketch karakter. Ada seorang pelajar yang dari awal asyik padam balik hasil kerja dia.
“Saya rasa tak cantik la Miss.”
Saya tengok hasil dia. Sebenarnya pelajar tersebut ada potensi, warna dia berani, bentuk dia ada identiti. Cuma perlu di betulkan se,dikit. Saya cakap pada dia “Kalau awak banding dengan orang lain, memang awak akan rasa tak cukup. Tapi kalau awak banding dengan versi awak minggu lepas… awak punya artwork jauh lebih cantik.”
Pelajar tersebut diam.
Minggu berikutnya, dia hantar design yang sama, tapi diperbaiki. Lebih kemas. Lebih yakin. Dan masa tu, saya tahu… dia bukan sekadar belajar design. Dia sedang belajar percaya pada diri sendiri.

Suasana Kelas Yang Dihargai
Dalam kelas, saya juga belajar banyak daripada pelajar. Ada yang lebih laju tangkap setiap pembelajaran yang saya ajar. Ada yang ajar kawan sebelah tanpa saya suruh. Ada yang tanya soalan yang buat saya sendiri kena fikir semula cara saya terangkan sesuatu.
Kadang-kadang kelas jadi riuh, semua orang tanya serentak, laptop hang, file hilang, warna tak jadi macam yang diharap. Penat? Ya.
Tapi jujur, itu antara suasana yang saya paling hargai. Sebab di situlah pembelajaran sebenar berlaku, dalam kekeliruan, dalam percubaan, dalam kesilapan.
Menjadi pensyarah grafik di Kolej Uniti Port Dickson mengajar saya satu perkara penting: Ilmu boleh diajar… tapi minat dan keyakinan perlu dipupuk.
Saya tak harap semua pelajar saya jadi designer hebat. Tapi kalau mereka keluar dari kelas saya dengan rasa, “aku boleh cuba”- itu pun dah cukup besar bagi saya. Dan setiap kali saya lihat mereka berjaya hasilkan sesuatu yang mereka sendiri tak sangka mampu buat… Saya akan senyum sendiri.
Cabaran Menjadi Pensyarah
Menjadi pensyarah juga datang dengan cabaran. Tidak semua pelajar mempunyai motivasi yang sama, dan ada juga yang mudah putus asa apabila berdepan dengan kesukaran teknikal.
Dalam situasi ini, saya belajar untuk lebih bersabar dan mencari pendekatan yang lebih fleksibel, sama ada melalui bimbingan secara individu atau memberi inspirasi melalui contoh karya yang relevan dengan minat mereka.
Mengikuti Perkembangan Industri
Selain itu, saya juga sentiasa berusaha untuk memastikan pengajaran saya selari dengan perkembangan industri.
Dunia grafik sentiasa berubah trend reka bentuk, teknik, dan teknologi semuanya bergerak pantas.
Jadi, saya perlu sentiasa belajar agar apa yang saya ajarkan kekal relevan dan berguna untuk masa depan pelajar.

i. Pantun Penutup
Anak ombak pecah di pantai,
Pasir halus dipijak perlahan,
Ada pelajar merasa tak pandai,
Akhirnya pulang dengan kejayaan.
Penutup
Pengalaman menjadi pensyarah grafik adalah satu perjalanan yang sangat bermakna. Ia bukan sahaja tentang mengajar, tetapi juga tentang belajar semula daripada pelajar, daripada pengalaman, dan daripada perubahan dunia kreatif itu sendiri.
Disediakan oleh:
Miss Juliza Ayu Assykin
Pensyarah Diploma In Graphic Design
Kolej UNITI Port Dickson



