IPTS Bumiputera Bukan Sekadar Pelengkap

Pengenalan

PENGANJURAN Kongres Pendidikan Bumiputera oleh di WTC Kuala Lumpur baru-baru ini tepat pada masanya dan merupakan intervensi yang sangat dialu-alukan dalam usaha kita menilai semula hala tuju modal insan negara.

Sebagai entiti yang menaungi institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) bumiputera, Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) menyambut baik komitmen mengumpulkan para pemikir dan pelbagai pemegang taruh untuk mencambah idea demi masa depan anak bangsa.

PKIBM gesa Agenda Pendidikan Bumiputera lebih komprehensif dengan penglibatan IPTS bagi memastikan akses pendidikan tinggi lebih inklusif dan berkesan.

Realiti Pahit: Tiada Agenda Pendidikan Bumiputera Yang Komprehensif

Namun, di sebalik kerancakan perbincangan tersebut, satu realiti pahit telah dibangkitkan oleh tokoh akademik dan ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau dengan lantang menyuarakan hakikat bahawa sehingga ke hari ini, negara kita masih gagal membentuk satu ‘Agenda Pendidikan Bumiputera’ yang komprehensif, tuntas dan berstruktur.

Masalah “Silo” Dalam Ekosistem Pendidikan

AKIBAT TIADA KERANGKA JELAS:

  • Dasar digubal secara berasingan tanpa koordinasi
  • IPTS Bumiputera tidak dilibatkan dalam perbincangan awal
  • Sumber dan inisiatif tidak diselaraskan secara holistik
  • Peluang kerjasama IPTA-IPTS tidak dioptimumkan

KESAN KEPADA IPTS:

  • Peranan tersisih dalam agenda utama
  • Kurang pengiktirafan sebagai rakan strategik
  • Sukar mengakses geran dan program kerajaan

Pemerhatian bernas ini mendedahkan satu kepincangan yang amat mendukacitakan. Akibat ketiadaan kerangka agenda yang jelas inilah, ekosistem pendidikan negara dilihat masih beroperasi dalam ruang lingkup berasingan atau secara ‘silo’.

Kesannya amat dirasai di peringkat kami apabila peranan dan kelangsungan usahawan pendidikan bumiputera seakan-akan tersisih serta tidak diberi tumpuan sewajarnya dalam agenda utama kongres berkenaan.

IPTS Bumiputera: Komponen Strategik, Bukan Pelengkap

Persatuan ini tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan. Perspektif bahawa IPTS hanyalah sekadar entiti pelengkap dalam sistem pendidikan negara harus dikikis segera.

Sebaliknya, institusi kami adalah komponen strategik yang berada di barisan hadapan dalam memperluaskan akses dan mendemokrasikan peluang pendidikan tinggi.

Fakta PKIBM: Skala & Impak Nyata

Bagi memberikan gambaran yang lebih jelas, PKIBM kini menggembleng 54 buah IPTS bumiputera yang teguh bersaing, menawarkan lebih daripada 150,000 ruang pengajian. Kesemua institusi ini membuktikan komitmen dengan menawarkan pelbagai program berkualiti tinggi yang dirangka khusus untuk menepati denyut nadi dan kehendak industri masa kini.

Cabaran Akses: Mengapa Masih Ada Yang Tercicir

Cabaran paling meruncing yang perlu kita tangani bersama hari ini adalah isu halangan akses ke menara gading.

Data terkini membuktikan bahawa masih terdapat segmen masyarakat bumiputera terutamanya dalam kalangan lepasan sekolah yang kadar penyertaan mereka ke pendidikan tinggi jauh berada di bawah paras purata nasional. Hal ini menuntut intervensi yang lebih tersasar dan berkesan.

Punca Utama Halangan Akses Pendidikan Tinggi

FAKTOR GEOGRAFI
• Institusi terpusat di bandar besar
• Kos pengangkutan & penginapan tinggi untuk pelajar luar bandar

FAKTOR EKONOMI
• Kekangan kewangan keluarga B40
• Yuran, buku & kos sara hidup yang membebankan

FAKTOR KESEDARAN
• Kurang maklumat tentang pilihan IPTS
• Persepsi negatif terhadap institusi swasta

FAKTOR PROSES
• Syarat kelayakan yang tidak fleksibel
• Proses permohonan yang kompleks & lambat

Kita harus akui, kekangan ini bukanlah satu masalah terpencil. Ia berakar umbi daripada gabungan pelbagai faktor, termasuklah isu lokaliti geografi terutamanya bagi penduduk di luar bandar, kesempitan kewangan yang membelenggu keluarga serta tahap kesedaran masyarakat yang pelbagai.

IPTS Bumiputera: Jambatan Alternatif Yang Fleksibel

Mengharapkan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) secara mutlak untuk menangani dan memikul kesemua isu ini adalah sesuatu yang sukar direalisasikan.

Keterbatasan dan birokrasi awam memerlukan pendekatan alternatif yang lebih inovatif dan fleksibel. Di sinilah letaknya kelebihan daya saing IPTS bumiputera.

Kelebihan Strategik IPTS Bumiputera Berbanding IPTA

Dengan struktur operasi yang lebih anjal, keupayaan menyesuaikan pendekatan akademik mengikut situasi semasa dan inisiatif sokongan yang inklusif, institusi ahli PKIBM mampu berfungsi sebagai jambatan penyelamat.

Kami menyediakan laluan alternatif relevan bagi calon yang mungkin terpinggir daripada institusi awam atau berdepan rintangan peribadi.

Artikel Berkaitan:

Tuntutan PKIBM: Melibatkan Kami Dalam Pembetukan Dasar

Oleh hal demikian, PKIBM menggesa agar setiap resolusi yang dicapai menerusi Kongres Pendidikan Bumiputera tidak sekadar kekal di atas kertas. Ia mesti dizahirkan melalui pelan tindakan nyata yang menuntut penglibatan menyeluruh semua penggerak ekosistem pendidikan negara, tanpa mengetepikan IPTS bumiputera.

PKIBM menuntut agar suara dan pandangan pemain industri ini diangkat ke tahap yang lebih signifikan. Pada masa hadapan, wakil persatuan pendidikan seperti PKIBM perlu dilibatkan secara langsung di setiap meja perbincangan dan tindakan susulan kelak, memastikan dasar yang digubal benar-benar berpijak pada realiti sebenar di lapangan.

3 Tuntuan Utama PKIBM Untuk Tidakan Segera

PENGIBATAN LANGSUNG DALAM DASAR
• Wakil PKIBM dalam jawatankuasa dasar pendidikan negara
• Rundingan awal sebelum penggubalan polisi berkaitan IPTS

PELAN TINDAKAN NYATA & BERPENGARUH
• Resolusi kongres diterjemah kepada KPI & jadual pelaksanaan
• Peruntukan khusus untuk inisiatif IPTS Bumiputera

KERJASAMA STRATEGIK IPTA-IPTS
• Perkongsian sumber, fasiliti & kepakaran
• Laluan perpindahan kredit yang dipermudah untuk pelajar

Penutup

Kesimpulannya, aspirasi ikhlas untuk memastikan tiada anak bumiputera yang tercicir daripada arus pendidikan tinggi hanya akan tercapai melalui kerjasama yang inklusif, kolaboratif dan realistik.

Suara kami bukan sekadar untuk didengar di dewan persidangan, malah perlu digembleng bersama. PKIBM sentiasa bersiap siaga untuk berdiri kukuh sebagai rakan strategik dalam menjayakan matlamat besar pendidikan negara.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply