DI SINI AKU BELAJAR TENTANG ERTI KEHIDUPAN. TERIMA KASIH KOLEJ UNITI!
Syukur Alhamdulillah, kini aku bergelar graduan Diploma Komunikasi Dan Media (DKM) Kolej UNITI Port Dickson. Aku sentiasa ingat dan sedar ini bukanlah penamatnya tapi permulaan untuk terus ke depan. Teringat semasa hari konvokesyen, aku sampai agak lewat. Kawan – kawan telefon dan mengatakan nama aku telah dipanggil untuk duduk dibaris hadapan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik program Diploma Komunikasi Dan Media Kolej UNII Pada masa itu, aku sangat terkejut dan tak sangka aku yang akan dapat anugerah tu sedangkan ramai lagi kawan-kawan ku yang hebat-hebat. Alhamdullilah anugerah ini aku tujukan khas buat mak abah dan keluarga kerana mereka lah yang bertungkus lumus menyumbang bakti dalam pengajianku dan tanpa jemu mendoakan kejayaan aku pada hari ini.
Mengimbau zaman pengajian di Kolej UNITI, banyak kenangan pahit manis, suka dan duka sepanjang tiga tahun aku di sana. Pernah satu ketika di kolej, aku dan kawan-kawan belajar meniaga. Segalanya bermula dengan tugasan subjek keusahawanan, namun lama-kelamaan ianya menjadi satu keseronokan kerana kami belajar bagaimana menjadi seorang usahawan disamping mendapat sedikit wang saku untuk perbelanjaan seharian di kolej.
Semasa di tahun akhir, aku bekerja sambilan di SPA Hotel Glory Beach yang terletak di bandar Port Dickson yang mengambil masa lebih kurang 30 minit perjalanan menaiki kenderaan awam. Aku terpaksa bekerja kerana aku anak sulung dari 3 beradik dan ayah ku hanyalah seorang pekerja kilang manakala ibu ku tidak bekerja. Jadi aku tak nak susahkan mak ayah yang sedang menyara adik-adik yang masih bersekolah.
Kalau ikutkan penat, memang penat. Siang belajar, malam bekerja dan balik lewat malam. Alhamdulillah, bos tempat aku bekerja sangat baik dan memberi aku ruang untuk ulangkaji dan siapkan tugasan sekiranya ada masa terluang. Pada semester akhir, kami perlu menjalani latihan praktikal dan aku telah memilih TV Pertiwi sebagai tempat untuk praktikal. TV Pertiwi memberi aku peluang menunjukkan bakat dalam bidang penyiaran dan kewartawanan. Aku belajar lebih banyak mengenai industri media dari belakang tabir sehinggalah menjadi pengacara.
Kini aku telah pun diserap sebagai wartawan TV Pertiwi dibawah Unit Berita. Ketua Editor banyak membantu dalam mengarang berita dengan baik. Dulu aku hanya mampu melihat sahaja wartawan menyampaikan maklumat di kaca tv, namun kini, aku sudah merasai sendiri tugasan mendapatkan sebuah berita. Dari angan – angan menjadi seorang wartawan semasa kecil, kini ianya benar-benar menjadi realiti. Bnayak lagi peluang pekerjaan dalam bidang komunikasi dan media ini antaranya Eksekutif Pengiklanan dan Pegwai Perhubungan Awam. Ramai juga rakan-rakan aku yang lain yang mendapat kerja dalam bidang yang sama, Terima Kasih Allah!
Kejayaan yang aku lalui ini tentunya bukan dari hasil usaha aku sahaja, tetapi berkat doa ibu bapa, bantuan pensyarah –pensyarah seperti Encik Rizal, Puan shahzizah, Encik Azwan, Puan Aisha, dan semua pensyarah – pensyarah kolej uniti yang mengajar aku selama di KU. Tidak lupa juga kepada Puan Habsah, Dekan FTK yang banyak membantu. Begitu juga dengan kawan – kawan DKM yang bersama-sama mengharungi kehidupan suka duka di Kolej UNITI. Dalam kejayaan hari ini terselit juga doa dari kawan-kawan. Korang paling best sentiasa dalam ingatan dan akan ku kenang sampai bila – bila!
Buat adik-adik di Kolej UNITI, jangan sesekali menyesal belajar di Kolej swasta. Ambillah peluang yang ada ini untuk terus melangkah ke hadapan dan tidak perlu toleh ke belakang lagi. Mungkin kita bukanlah orang yang cemerlang SPM, namun Allah telah beri kita peluang dan ruang untuk kita melakarkan sendiri sejarah kejayaan kita demi masa depan yang lebih cerah.
TERIMA KASIH UNITI UNTUK KESEMPATAN DAN PELUANG INI!
Nur Faqihah Syahirah Binti Zuraiman
Graduan Program Diploma Komunikasi & Media 2019